Sunday, January 1, 2023

Impian Hidup

1 Januari setiap tahun antara hari yang ditunggu-tunggu. Sebahagian daripada kita akan melafazkan kembali impian-impian yang ingin dicapai pada hari-hari yang mendatang. Lama kelamaan, kita merasakan impian hanya tinggal impian, lebih-lebih lagi setelah tanggal 1 Januari telah dilalui lima puluh kali dalam kehidupan ini.

الحمد لله رب العالمين

2023 adalah tahun yang menarik untuk saya. Tahun ini usia saya akan mencapai setengah abad. Modal yang diberi Pencipta sebagai ujian adakah saya seorang yang mensyukuri nikmat atau mengkufurinya.

Kadangkala kita melihat impian-impian yang tidak hadir, lalu melupakan betapa banyak nikmat Allah Taala yang kita lalai untuk mengecapinya.

Ketika saya mencatat peristiwa harian dalam diari di zaman remaja dan awal dewasa, pasti 1 Januari akan dimulai dengan impian hidup yang sangat mudah berdasarkan kepada doa yang dibaca sepanjang masa...

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Wahai Tuhan kami, berikanlah kepada kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan jauhkanlah kami dari azab api neraka.

آمين 

Impian yang mudah tetapi menyeluruh. 

Lalu menyusul impian-impian yang lebih khusus.

الحمد لله

Banyak impian terlaksana. Banyak jua yang akhirnya menjadi angan-angan serta khayalan mewarnai kehidupan. 

Akhir tahun 2022 dan awal tahun 2023, saya merancang menulis panjang sebagai muhasabah diri yang faqir menjalani setengah abad kehidupan. Namun takdir sentiasa mendahului kehendak diri. Entah apa yang dikejar dalam hidup ini, sibuknya datang silih berganti.

Lalu blog MohdAffandiMohdYusuf.blogspot.com tercipta tanpa perancangan. Menghidupkan kembali impian memiliki karya catatan hidup peribadi di bumi bertuah ini.

Jika dipanjangkan usia, pada 29 Ogos 2023, saya secara rasmi berusia 50 tahun. Impian saya pada tarikh tersebut, saya dapat terbitkan sendiri buku bibliografi diri sendiri.

Saya sedar saya hanya seorang John Doe yang tidak dikenali. Namun menarik juga kan mengetahui perjalanan hidup orang biasa-biasa.

Walaupun John Doe, banyak juga pengembaraan menarik yang berlaku dalam kehidupan saya. Biasanya apabila bertaaruf dengan pelajar-pelajar saya, saya akan menceritakan pengalaman zaman kanak-kanak saya bertemu lanun di Laut China Selatan. Tak ramai kan yang ada pengalaman jumpa lanun?

Bagaimana dengan perjalanan menunaikan Haji seorang diri di usia 17 tahun? Keseorangan di Padang Arafah namun bersama jutaan umat Islam. Anih tapi benar.

Mungkin juga anak cucu saya berminat untuk tahu bagaimana ayah saya membawa keluarga kami berhijrah dari Vietnam sehingga menetap di Malaysia.

Pasti kenangan-kenangan ini akan hilang begitu sahaja jika tidak dicatatkan.

Harapannya impian ini mekar berkembang dan tidak layu menjadi khayalan seperti impian untuk mendaki Gunung Kinabalu satu ketika dahulu... Ops...

Catatan 1 Januari sebagai pembuka blog ini ditutup dengan doa 

يسر الله لنا ولكم
وكتب لنا ولكم النجاح في الدنيا والآخرة

آمين


Impian Hidup

1 Januari setiap tahun antara hari yang ditunggu-tunggu. Sebahagian daripada kita akan melafazkan kembali impian-impian yang ing...